Benarkah masalah kekejangan terutamanya di bahagian kaki yang biasa dialami di akhir trimester kehamilan boleh diatasi dengan mengambil suplemen kalsium sahaja?
SEBAB TERJADI KEKEJANGAN KAKI
Rasa kejang di kaki memang sering terjadi ketika hamil. Menurut Dr Norintan Zainal Abidin Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Seremban, rahim yang semakin membesar menyebabkan saluran darah tertekan. Ini menyebabkan darah sukar untuk mengalir ke atas (dari kaki ke jantung). Pengaliran darah yang semakin sukar ini menyebabkan kaki terasa kejang.
5 CARA RAWAT KEKEJANGAN KAKI
Suplemen kalsium sering digunakan untuk merawat kekejangan kaki tetapi ia tidak banyak membantu. Sebaliknya, anda dinasihatkan untuk:
- Melakukan senaman seperti berjalan kaki (bukan berlari atau joging) untuk mengaktifkan pengaliran darah dari kaki ke jantung.
- Meletakkan kaki di atas kerusi lain ketika duduk berehat.
- Memakai stoking khas (pressure graded stockings) yang boleh dibeli di farmasi.
- Meminta bantuan suami mengurut kaki untuk melancarkan pengaliran darah.
- Rendam kaki di dalam air suam atau tuam kaki dengan tuala suam. Ia dapat membantu pengaliran darah di kaki.
PERKARA PERLU DIKETAHUI TENTANG SUPLEMEN KALSIUM
Suplemen kalsium penting untuk pembentukan tulang dan gigi bayi. Jika anda tidak mengambil suplemen kalsium secukupnya, bayi akan “mencuri” kalsium daripada ibunya. Ini menyebabkan tulang anda mengalami kehausan kalsium.
Ibu juga perlu terus mengambil suplemen kalsium sewaktu berpantang dan ketika menyusukan bayi kelak. Vitamin D pula penting untuk memastikan pil kalsium yang dimakan boleh diserap ke dalam badan.
Wanita yang kekurangan kalsium akan mendapat risiko osteoporosis di masa hadapan. Wanita hamil dan menyusukan anak memerlukan 1000 – 1200mg kalsium sehari. Tetapi jangan makan kalsium berlebihan kerana ia boleh menyebabkan masalah sembelit dan batu karang.
Comments
Post a Comment